Friday, January 27, 2012

Inland Revenue Board Malaysia To Collect About RM110 billion


LHDN yakin capai sasaran kutipan cukai RM109.099b
13 January 2012


KUCHING: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) yakin dapat mencapai sasaran kutipan cukai RM109.099 bilion di seluruh negara bagi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, ia dapat direalisasikan dengan beberapa faktor yang dijangka menyumbang kepada pencapaian itu.

“Walaupun keadaan ekonomi agak lembap tapi dengan kebolehupayaan LHDN untuk menerokai sumber-sumber yang selama ini tersembunyi kami yakin mencapai sasaran kerajaan tahun ini.

“Angka yang disasarkan itu berdasarkan daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan dan ia tidak termasuk aktiviti percukaian yang tidak dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Akademi Percukaian Malaysia (APM) Kampus Kuching yang dihadiri Pengarah APM Adzhar Sulaiman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha di Jalan Tabuan di sini, semalam.

Mohd Shukor memberitahu, pada tahun 2011 LHDN dengan jayanya mencapai sasaran kutipan iaitu RM91 bilion di seluruh negara.

Kejayaan itu katanya, hasil daripada perkembangan ekonomi yang menyumbang kira-kira 30 peratus daripadanya sementara 70 peratus adalah sumbangan strategi dan motivasi dalaman kepada kakitangan.

“Ia termasuk dari segi cara-cara kira membuat kerja harian dan mengenal pasti halangan sebelum ini, yang mampu menjadikan produktiviti meningkat,” tegasnya.

Ditanya berhubung negeri yang tertinggi membayar cukai, beliau berkata ia tidak berdasarkan negeri kerana bergantung kepada di mana pembayar cukai berada.

Mohd Shukor memberi contoh, ada syarikat yang beroperasi di Sarawak tetapi beribu pejabat di Kuala Lumpur, maka kutipan cukai akan ditujukan ke Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, berdasarkan kutipan cukai yang kita lihat sekitar Sarawak iaitu pembayar cukai yang menggunakan alamat Sarawak, dianggarkan RM3.5 bilion,” tegasnya.

No comments: